13 Disember 2010

ADAB SEBELUM MUSAFIR

  • Niat yang baik. Setiap perjalanan yang disertakan dengan niat yang ikhlas akan membuahkan pahala dan dinilai sebagai ibadah.
  • Tidak bermusafir dengan tujuan maksiat.
  • Lakukan istikharah. Meminta petunjuk daripada Allah dalam setiap perkara mubah yang dilakukan adalah antara adab yang amat dianjurkan dalam Islam.
  • Musyawarah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: " ... jika ia meminta nasihat, maka berkanlah nasihat kepadanya." (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
  • Melunaskan semua hak-hak manusia yang terbeban pada seseorang. Jika ada hutang maka langsaikan dahulu dan jika ada amanah maka kembalikanlah kepada pemiliknya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum hijrah. Selain itu juga, mohonlah juga kemaafan daripada mereka yang berkenaan.
  • Meminta izin. Seorang anak hendaklah meminta izin kedua-dua orang tua atau penjaganya, manakala seorang isteri pula perlu meminta izin daripada suaminya.
  • Berwasiat amat dianjurkan melalui sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Tidaklah dibenarkan seorang muslim yang memiliki sesuatu untuk diwasiatkannya, ia bermalam dua malam melainkan wasiat itu tertulis di sisinya." (Muttafaq 'alaih) Jika berwasiat digalakkan dalam keadaan bermusafir, ia amat digalakkan.
  • Melantik orang yang boleh menguruskan keluarga yang terdiri daripada orang yang boleh dipercayai dan meninggalkan nafkah yang mencukupi untuk keluarga yang ditinggalkan.
  • Mempersiapkan diri dan bekal dan membawa wang yang secukupnya sehingga tidak perlu meminta-minta daripada sesiapa.
  • Mendoakan keluarga dan saudara-mara yang ditinggalkan. Ikutilah sunnah Rasulullah s.a.w., apabila Baginda ingin meninggalkan ahli keluarganya, Baginda mendoakan: "Aku menitipkan kalian kepada Allah yang tidak akan hilang titipan-Nya." (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Disalin semula daripada MAJALAH SOLUSI: m/s 74

06 Disember 2010

Ilmu Silat yang Hebat!

Seorang remaja bertemu seorang guru silat yang warak. Dia berkata," Tuan guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan."

"Boleh. Tapi syaratnya kamu mesti taat perintahku."

"Insya-Allah saya akan taat. Bila saya boleh mula belajar?"

"Sekarang juga. Kau pergi ke hadapan mihrab masjid itu. Di sana ada ribuan kitab-kitab lama."

"Tetapi saya berhajat belajar silat, bukannya belajar ilmu agama," bantahnya.

"Bukankah telah aku katakan tadi. Mesti taat, baru boleh belajar silat," tegas Tok Guru.

"Ya, ya."

Maka tinggallah remaja itu berbulan-bulan di situ. Kerjanya tidak lain selain menyemak lembaran kitab itu sehelai demi sehelai. Habis sebuah, dia beralih kepada kitab yang lain. Akhirnya, ribuan kitab telah disemaknya menggunakan ibu jarinya dan jari telunjuknya.

Selepas enam bulan, dia berasa sungguh bosan. Dia masih belum diajar walu sedikit pun ilmu silat. Sedangkan kawan-kawannya yang belajar dengan guru-guru lain kini telah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.

"Tok Guru, saya ingin berhenti. Tiada apa pun silat yang saya belajar di sini. Saya ingin pulang."

"Tetapi Tok sudah mengajar kamu ilmu silat."

"Mengajar ilmu silat? Sialat apa? Jangankan menumbuk dan menendang, melangkah pun saya tidak diajar!"

"Pulanglah. Kamu akan faham apa yang Tok maksudkan."

apabila pulang ke kampung, dia berasa rendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka sudah mahir bersilat.

Satu petang, sedang dia melihat kawan-kawannya bersilat di padang, tiba-tiba seorang daripada kawannya jatuh dan dan kakinya tergeliat.

"Aduh, aduh! Kakiku!" jeritnya kesakitan.

Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, takanan ibu jarinya begitu kuat sehingga kaki kawannya melecet dengan teruk dan kaki yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.

"Aduh! Apa yang kau buat pada kakiku? Sakit, sakit."

Dia terkejut. Barulah dia sedar bahawa ibu jarinya punya kuasa yang kuat. Kekuatan yang menyamai penyepit besi.

Rupa-rupanya itulah kekuatan daripada ilmu silat Tok Gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh hari!

Nilai:

Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah, umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah!

Berubah-ubah Niat

Seorang pemanjat kelapa sedang berada dalam keadaan yang sangat bahaya. Ketika dia berada di puncak pokok kelapa, ribut melanda berserta angin kencang sehingga kakinya tergelincir, tetapi dia sempat berpaut pada pelepah kelapa yang terjuntai.

Keadaannya seperti telur dihujung tanduk. Dalam keadaan yang genting itu dia berseru, "Ya Allah, selamatkan aku daripada jatuh. Jika selamat, aku akan sedekahkan seekor lembu untuk orang miskin."

Sejurus kemudian, tangannya dapat berpaut kembali pada batang pokok.

Namun ribut masih bertiup kencang. Keadaannya walaupun dalam agak lebih baikdaripada sebelumnya, tetapi dia masih lagi belum selamat. Berpaut sekuat-kuatnya pada batang pokok, dia berseru lagi, " Ya Allah, sekiranya Engkau selamatkan aku daripada jatuh, aku akan sedekahkan seekor kambing untuk orang miskin."

Setelah bersusah payah, dia berjaya turun sehingga ke bahagian tengah pokok kelapa. Harapannya untuk selamat kian cerah, walaupun angin ribut masih bertiup kencang. Kali ini dia berseru, "Ya Allah, kalau Kau selamatkan aku, aku akan sedekahkan tiga ekor ayam."

Akhirnya dia sampai kedudukan yang lebih rendah, dan doanya berubah lagi, "Ya Allah, sekiranya aku selamat akau akan sedekahkan seekor ayam."

Ribut telah berhenti dan dia telah berada di kedudukan yang selamat. Dia pun melepaskan tangannya daripadabatang pokok lalu berpura-pura jatuh. "Ya Allah, rupa-rupanya aku terjatuh juga. Maka tidak jadilah aku sedekahkan apa-apa pun!"

Nilai: Dalam keadaan susah manusia sering ingatkan Allah tetapi apabila senang manusia mudah melupakan-Nya. Ironinya, apakah kita tidak malu mengharap bantuan Allah ketika susah sedangkan sewaktu kita senang kita melupakan-Nya?