"Boleh saya tengok buku itu?" pinta Yusuf. "Silakan". Saya mengajukan naskhah yang ada ditangan.
Yusuf berkerut dahi. Membelek-belek buku tersebut dan menyelak beberapa lembaran yang kelihatannya bersifat selektif,
"Kenapa buku ini?" beliau menyoal.
"Kenapa tidak?" saya agak tidak selesa dengan cara beliau bertanya.
"Imam tidak kenal dengan penulisnya?" soal beliau lagi.
"Oh, itukah isunya. Maksud awak, penterjemahnya atau penulisnya?" saya baru menangkap maksud soalan Yusof.
"Ya, saya maksudkan penterjemahnya. Nuh Ha Mim Keller!" ujar Yusof membetulkan soalan awalnya.
"Saya tidak ada masalah dengan Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Kalau ada satu dua pandangannya berbeza dengan pandangan yang menjadi pegangan saya , itu biasa," saya membuat penjelasan.
"Lihat sahaja bab ini, The Sunni Position On Controversial Topics of Our Time. Pendapat-pendapat itu penuh dengan bidaah dan bertentangan dengan pendirian salafussolleh. Saya amat tidak menyukainya," kata Yusof lagi.
Saya diam seketika daripada bersoal jawab. Mencari hikmah dalam diam untuk mencegah sesal dalam kalam.
Saya tidak salahkan Yusof. Belaiu sebagai seorang saudara baru di negara Barat, memang tegas dalam menentukan pendirian dalam hal-hal seperti ini.
Hitam dan Putih, Tiada Kelabu
Yusof mengalami satu keadaan yang sering saya temui dalam kalangan kelompok mualaf (saudara baru) di negara Eropah. Keluar dari lembah kufur dan jahiliah, bersyahadah dengan pengisytiharan iman dan masuk ke daerah Islam, mereka tidak mudah menyesuaikan diri dengan kepelbagaian pendapat dan aliran yang wujud dalam Islam. Segalanya harus antara yang hak dan batil.
Apabila berdepan dengan wujudnya pendekatan yang berbeza dalam beberapa aspek usuluddin hingga wujudnya aliran salaf dan khalaf, kelompok mualaf di Eropah menjadi sedikit agresif dalam memilih salah satu daripadanya.
Logik Yusof mudah sahaja. Jika selama ini beliau disesatkan dalam agam Kristian oleh perbuatan paderi-paderinya yang manipulatif dan mengangkat diri mengatasi autoriti Bible, Yusof turut fobia dengan 'pendapat-pendapat ulama' yang menenggelamkan persoalan yang lebih penting iaitu apa pendapat Allah dan dan pendapat Rasul?
Kitab 'Umdah al-nasik (Relaince of The Traveller and Tools of The Worshipper) atau lebih dikenali dengan ringkasan tajuknya, Reliance of The Traveller adalah sebuah manual klasik mazhab Syafi'i. Penulis asal kepada bahagian utama buku ini adalah Ahmad Ibn Naqib al-Misri, yang menjadikan legasi Imam al-Nawawi dan Imam Abu Ishaq al-Shirazi sebagai asas buku karangannya.
Kitab ini diterjemahkan oleh seorang ilmuwan dari Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan kemudiannya bermastautin di Jordan iaitu Sheikh Nuh Ha Mim Keller pada tahun 1991. Terjemahan ini menjadi teks berbahasa Eropah pertama yang menerima pengiktirafan oleh Universiti al-Azhar, Mesir.
Sebagai seorang yang bermazhab Syafi'i dan bermanhajkan aliran Asya'irah dalam usuluddin, Sheikh Nuh Ha Mim Keller menyertakan pandangan-pandangan beliau tentang isu-isu yang dianggap kontroversi pada masa kini. Soal bidaah, sufi dan tasawuf, pentafsiran ayat-ayat mutashabihat di dalam al-Quran dan persoalan keraian maulid adalah antara isu yang disentuh oleh Sheikh Nah Ha Mim Keller di dalam seksyen khas yang dimuatkan sama.
Bakar Buku
"Saya faham kerisauan awak, Yusof. Tetapi sebagai seorang penuntut ilmu, kita tidak harus menghukum keseluruhan buku hanya ada sebahagian isinya yang kita tidak persetujui. Jika awak menolak buku Reliance of the Traveller hanya kerana awak tidak bersetuju dengan pandangan Sheikh Nuh Ha Mim Keller tentang sufi dan maulid, awak juga nanti akan menolak Tafsir al-Kasyaf oleh al-Imam al-Zamakhsyari hanya kerana ada sehelai dua kandungan buku itu yang pandangannya cenderung kepada idea Muktazilah," saya cuba melunakkan reaksi keras Yusof.
"Saya bukan ilmuwan seperti Imam. Saya orang biasa, mualaf. Jika ada perkara yang saya rasa boleh mencederakan iman saya, saya tidak akan teragak-agak untuk menolak, malah menghapuskannya," tegas Yusof.
"Menghapuskannya?" terkejut saya dengan kalimah yang diucapkannya.
"Ya, menghapuskannya. Naskhah Reliance of the Traveller yang pernah saya miliki, saya sudah bakar!" Yusof memandang tepat ke muka saya.
"Astaghfirullah. Saya gembira dengan ketegasan awak menjaga iman. Tetapi janganlah sampai membakar buku," saya mengurut dada.
"Saya tidak mahu ada orang lain jadi sesat atau keliru membaca buku milik saya. Justeru membakarnya adalah penyelesaian terbaik," Yusof menegaskan lagi pendapatnya.
Saya kaget.
Yusof tidak berganjak.
"Beware any society that burns books. Ia adalah simptom kepada dictatorship. Lihat sahaja dinasti Qin di China, Nazi di Jerman serta Maximilien Francois Marie Isidore de Robespierre di Perancis. Kita sependapat dalam banyak perkara, tetapi izinkan saya untuk tidak menyetujui sikap awak membakar buku tersebut," saya menyudahkan perbualan.
"Tetapi sekurang-kurangnya saya berpendapat demikian setelah mambaca sendiri dan membuat keputusan. ada orang yang memberikan pendapat yang lebih teruk tentang ulama atau buku tanpa pernah membacanya. Hanya hearsay sahaja!: tambah Yusof.
"Bab itu saya sangat setuju. Jika tadi kita ada khilaf, dalam isu ini saya bersepakat dengan awak," saya mengulas.
Biar pun perbualan kami malam itu berakhir dengan khilaf yang tajam, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ia tidak menjejaskan ukhuwah di antara kami. Yusof terus setia mengunjungi saya serta bertukar-tukar pendapat. Yusof adalah Yusof. Biar pun saya ada bertemu dengan beberapa orang yang memikul sikap yang sama sepertinya, ia berlaku kerana sesuatu. Meletakkan diri di tempat Yusof, saya boleh faham mengapa Yusof begitu keras.
Beliau datang kepada Islam kerana mahu mentaati Allah dan Rasul. Justeru kegemaran segelintir pihak berputar-putar pada kaul ulama apatah lagi sekadar ustaz yang tidak mencapai taraf ilmuwan hingga menenggelamkan apa kata Allah dan Rasul, Yusof ada sikap yang tersendiri terhadap hal ini. Ulama mesti membimbing manusia mencintai Rasul, bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada ulama.
Akhirnya, sikap juga yang menjadi isu.
ditulis oleh Ustaz Hasrizal ABD. Jamil: SOLUSI isu #15 m.s 25 - 26.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan