06 Disember 2010

Berubah-ubah Niat

Seorang pemanjat kelapa sedang berada dalam keadaan yang sangat bahaya. Ketika dia berada di puncak pokok kelapa, ribut melanda berserta angin kencang sehingga kakinya tergelincir, tetapi dia sempat berpaut pada pelepah kelapa yang terjuntai.

Keadaannya seperti telur dihujung tanduk. Dalam keadaan yang genting itu dia berseru, "Ya Allah, selamatkan aku daripada jatuh. Jika selamat, aku akan sedekahkan seekor lembu untuk orang miskin."

Sejurus kemudian, tangannya dapat berpaut kembali pada batang pokok.

Namun ribut masih bertiup kencang. Keadaannya walaupun dalam agak lebih baikdaripada sebelumnya, tetapi dia masih lagi belum selamat. Berpaut sekuat-kuatnya pada batang pokok, dia berseru lagi, " Ya Allah, sekiranya Engkau selamatkan aku daripada jatuh, aku akan sedekahkan seekor kambing untuk orang miskin."

Setelah bersusah payah, dia berjaya turun sehingga ke bahagian tengah pokok kelapa. Harapannya untuk selamat kian cerah, walaupun angin ribut masih bertiup kencang. Kali ini dia berseru, "Ya Allah, kalau Kau selamatkan aku, aku akan sedekahkan tiga ekor ayam."

Akhirnya dia sampai kedudukan yang lebih rendah, dan doanya berubah lagi, "Ya Allah, sekiranya aku selamat akau akan sedekahkan seekor ayam."

Ribut telah berhenti dan dia telah berada di kedudukan yang selamat. Dia pun melepaskan tangannya daripadabatang pokok lalu berpura-pura jatuh. "Ya Allah, rupa-rupanya aku terjatuh juga. Maka tidak jadilah aku sedekahkan apa-apa pun!"

Nilai: Dalam keadaan susah manusia sering ingatkan Allah tetapi apabila senang manusia mudah melupakan-Nya. Ironinya, apakah kita tidak malu mengharap bantuan Allah ketika susah sedangkan sewaktu kita senang kita melupakan-Nya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan