13 Disember 2010

ADAB SEBELUM MUSAFIR

  • Niat yang baik. Setiap perjalanan yang disertakan dengan niat yang ikhlas akan membuahkan pahala dan dinilai sebagai ibadah.
  • Tidak bermusafir dengan tujuan maksiat.
  • Lakukan istikharah. Meminta petunjuk daripada Allah dalam setiap perkara mubah yang dilakukan adalah antara adab yang amat dianjurkan dalam Islam.
  • Musyawarah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: " ... jika ia meminta nasihat, maka berkanlah nasihat kepadanya." (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
  • Melunaskan semua hak-hak manusia yang terbeban pada seseorang. Jika ada hutang maka langsaikan dahulu dan jika ada amanah maka kembalikanlah kepada pemiliknya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum hijrah. Selain itu juga, mohonlah juga kemaafan daripada mereka yang berkenaan.
  • Meminta izin. Seorang anak hendaklah meminta izin kedua-dua orang tua atau penjaganya, manakala seorang isteri pula perlu meminta izin daripada suaminya.
  • Berwasiat amat dianjurkan melalui sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Tidaklah dibenarkan seorang muslim yang memiliki sesuatu untuk diwasiatkannya, ia bermalam dua malam melainkan wasiat itu tertulis di sisinya." (Muttafaq 'alaih) Jika berwasiat digalakkan dalam keadaan bermusafir, ia amat digalakkan.
  • Melantik orang yang boleh menguruskan keluarga yang terdiri daripada orang yang boleh dipercayai dan meninggalkan nafkah yang mencukupi untuk keluarga yang ditinggalkan.
  • Mempersiapkan diri dan bekal dan membawa wang yang secukupnya sehingga tidak perlu meminta-minta daripada sesiapa.
  • Mendoakan keluarga dan saudara-mara yang ditinggalkan. Ikutilah sunnah Rasulullah s.a.w., apabila Baginda ingin meninggalkan ahli keluarganya, Baginda mendoakan: "Aku menitipkan kalian kepada Allah yang tidak akan hilang titipan-Nya." (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Disalin semula daripada MAJALAH SOLUSI: m/s 74

06 Disember 2010

Ilmu Silat yang Hebat!

Seorang remaja bertemu seorang guru silat yang warak. Dia berkata," Tuan guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan."

"Boleh. Tapi syaratnya kamu mesti taat perintahku."

"Insya-Allah saya akan taat. Bila saya boleh mula belajar?"

"Sekarang juga. Kau pergi ke hadapan mihrab masjid itu. Di sana ada ribuan kitab-kitab lama."

"Tetapi saya berhajat belajar silat, bukannya belajar ilmu agama," bantahnya.

"Bukankah telah aku katakan tadi. Mesti taat, baru boleh belajar silat," tegas Tok Guru.

"Ya, ya."

Maka tinggallah remaja itu berbulan-bulan di situ. Kerjanya tidak lain selain menyemak lembaran kitab itu sehelai demi sehelai. Habis sebuah, dia beralih kepada kitab yang lain. Akhirnya, ribuan kitab telah disemaknya menggunakan ibu jarinya dan jari telunjuknya.

Selepas enam bulan, dia berasa sungguh bosan. Dia masih belum diajar walu sedikit pun ilmu silat. Sedangkan kawan-kawannya yang belajar dengan guru-guru lain kini telah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.

"Tok Guru, saya ingin berhenti. Tiada apa pun silat yang saya belajar di sini. Saya ingin pulang."

"Tetapi Tok sudah mengajar kamu ilmu silat."

"Mengajar ilmu silat? Sialat apa? Jangankan menumbuk dan menendang, melangkah pun saya tidak diajar!"

"Pulanglah. Kamu akan faham apa yang Tok maksudkan."

apabila pulang ke kampung, dia berasa rendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka sudah mahir bersilat.

Satu petang, sedang dia melihat kawan-kawannya bersilat di padang, tiba-tiba seorang daripada kawannya jatuh dan dan kakinya tergeliat.

"Aduh, aduh! Kakiku!" jeritnya kesakitan.

Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, takanan ibu jarinya begitu kuat sehingga kaki kawannya melecet dengan teruk dan kaki yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.

"Aduh! Apa yang kau buat pada kakiku? Sakit, sakit."

Dia terkejut. Barulah dia sedar bahawa ibu jarinya punya kuasa yang kuat. Kekuatan yang menyamai penyepit besi.

Rupa-rupanya itulah kekuatan daripada ilmu silat Tok Gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh hari!

Nilai:

Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah, umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah!

Berubah-ubah Niat

Seorang pemanjat kelapa sedang berada dalam keadaan yang sangat bahaya. Ketika dia berada di puncak pokok kelapa, ribut melanda berserta angin kencang sehingga kakinya tergelincir, tetapi dia sempat berpaut pada pelepah kelapa yang terjuntai.

Keadaannya seperti telur dihujung tanduk. Dalam keadaan yang genting itu dia berseru, "Ya Allah, selamatkan aku daripada jatuh. Jika selamat, aku akan sedekahkan seekor lembu untuk orang miskin."

Sejurus kemudian, tangannya dapat berpaut kembali pada batang pokok.

Namun ribut masih bertiup kencang. Keadaannya walaupun dalam agak lebih baikdaripada sebelumnya, tetapi dia masih lagi belum selamat. Berpaut sekuat-kuatnya pada batang pokok, dia berseru lagi, " Ya Allah, sekiranya Engkau selamatkan aku daripada jatuh, aku akan sedekahkan seekor kambing untuk orang miskin."

Setelah bersusah payah, dia berjaya turun sehingga ke bahagian tengah pokok kelapa. Harapannya untuk selamat kian cerah, walaupun angin ribut masih bertiup kencang. Kali ini dia berseru, "Ya Allah, kalau Kau selamatkan aku, aku akan sedekahkan tiga ekor ayam."

Akhirnya dia sampai kedudukan yang lebih rendah, dan doanya berubah lagi, "Ya Allah, sekiranya aku selamat akau akan sedekahkan seekor ayam."

Ribut telah berhenti dan dia telah berada di kedudukan yang selamat. Dia pun melepaskan tangannya daripadabatang pokok lalu berpura-pura jatuh. "Ya Allah, rupa-rupanya aku terjatuh juga. Maka tidak jadilah aku sedekahkan apa-apa pun!"

Nilai: Dalam keadaan susah manusia sering ingatkan Allah tetapi apabila senang manusia mudah melupakan-Nya. Ironinya, apakah kita tidak malu mengharap bantuan Allah ketika susah sedangkan sewaktu kita senang kita melupakan-Nya?

14 Mei 2010

Banyak Bertanya

Seorang lelaki dikenali sebagai seorang yang amat suka bertanya dan mempersoalkan sesuatu. Mungkin dia merasakan itu hanya sekadar untuk bersuka-suka atau "saja-saja". Namun tanpa disedari, sikapnya itu menimbulkan banyak masalah dalam kalangan penduduk setempat. Dan lebih berbahaya lagi apabila soalan-soalannya menyentuh soal-soal keimanan.

Satu hari dia bertanya kepada kawan-kawannya, "kau rasa betul ke neraka itu tempat seksa yang paling dahsyat?"

"memang dahsyat. Sangat panas. Api neraka berganda-ganda lebih panas daripada api dunia. Kenapa kau tanyakan begitu?"

"Syaitan dibuat daripada apa?" tanyanya lagi.

"eh, tentulah daripada api!"

"neraka pula?"

"neraka pun daripada api!"

"Itulah persoalannya. Syaitan akan dimasukkan ke neraka. Dia daripada api, neraka juga daripada api...kalau demikian apalah sakitnya, apalah seksanya," simpul lelaki itu sambil mencemik.

Kawan-kawannya mula berfikir. Betul juga, terlintas begitu dalam hati mereka.

"Apa kata kita jumpa Tok Imam untuk mendapat penjelasan," cadang seorangdaripada mereka.

"aku rasa Tok Imam pun tak akan dapat jawabnya," kata pemuda itu.

Mereka berjumpa Tok Imam dan mengajukan soalan itu. Sejurus kemudian, Tok Imam mengambil ketul-ketul tanah dan membalingpemuda itu. Tok Imam terus membaling sehingga muka dan badan pemuda itu bengkak-bengkak. Tidak tahan dia pun lari.

"jangan lari. Jangan lari."

"inikah sikap Tok Imam? Saya bertanya soalan, sebaliknya dibaling dengan ketul tanah!"

"itulah jawapan saya. Saya membaling kamu dengan tanah, sepatutnya tak sakit. Kamu dicipta daripada tanah dan saya beling kamu dengan tanah, apalah sakitnya..."

"oh sakit tuan. Habis badan saya bengkak-bangkak..."

Itulah yang akan dialami oleh syaitan di dalam api neraka nanti!"

"ya,ya. Saya faham. Jangan baling lagi."

Pengajaran:
Sekali sekala orang yang degil perlu diajar dengan cara yang keras dan tegas. Kekdang jawapan dalam bentuk tindakan...walaupun ada masanya sangat pahit tetapi itu lebih berkesan.

20 April 2010

Si Anak Gajah

Seekor anak gajah dirantai sejak kecil pada sebatang tiang. Pada mulanya anak gajah itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Anak gajah itu tidak berdaya kerana kakinya masih kecil, manakala rantai serta tiang yang menambatnya begitu kuat. Hari demi hari dicubanya, tetapi anak gajah itu tidak dapat melepaskan diri. Lama-kelamaan anak gajah tidak mahu mencuba lagi kerana takut dengan risiko kegagalan.

Setelah bertahun dalam keadaan itu, anak gajah membesar sebagai gajah dewasa. Badan, kaki dan lain-lain anggota badannya sudah turut membesar lebih daripada rantai dan tiang yang menambat kakinya sejak kecil. Secara logiknya dengan sekali rentap sahaja besi dan tiang itu boleh tercabut. Sayangnya, gajah itu tidak pernah berfikir untuk berbuat begitu. Kenapa? Kerana ia sudah hilang keyakinan diri. Pengalaman gagal semasa kecil menyebabkan gajah itu tidak mahu mencuba lagi. Padanya, ia tetap tidak mampu melakukannya.

Inilah bahana hilang keyakinan diri. Dan dalam kehidupan manusia, apa yang dialami oleh gajah itu sering terjadi. Khususnya buat umat Islam yang sekian lama dijajah oleh musuh dalaman dan luarannya, semangat berjuang menjadi semakin luntur.

MSOLUSI:isu 17 m.s17

08 April 2010

Ibu Terjahat Di dunia

Janganlah buat begini , seburuk-buruk anak akan ada baiknya. Semuanya dugaan belaka

MENITIK AIR MATA BILA BACA NI.....


20 tahun yang lalu saya melahirkan seorang bayi laki-laki, wajahnya comel tetapi nampak bodoh. Ali, suamiku memberinya nama Yusri. Semakin lama semakin nampak jelas bahawa anak ini memang agak terkebelakang. Saya berniat mahu memberikannya kepada orang lain saja supaya dijadikan budak atau pelayan bila besar nanti. Namun Ali mencegah niat buruk itu. Akhirnya terpaksa saya membesarkannya juga. Pada tahun kedua kelahiran Yusri, saya pun melahirkan pula seorang anak perempuan yang cantik. Saya menamakannya Yasmin. Saya sangat menyayangi Yasmin, begitu juga Ali. Seringkali kami mengajaknya pergi ke taman hiburan dan membelikan pakaian anak-anak yang indah-indah. Namun tidak demikian halnya dengan Yusri. Ia hanya memiliki beberapa helai pakaian lama. Ali berniat membelikannya, namun saya selalu melarang dengan alasan tiada wang. Ali terpaksa menuruti kata saya. Saat usia Yasmin 2 tahun, Ali meninggal dunia. Yusri sudah berumur 4 tahun ketika itu. Keluarga kami menjadi semakin miskin dengan hutang yang semakin bertambah. Saya mengambil satu tindakan yang akhirnya membuatkan saya menyesal seumur hidup. Saya pergi meninggalkan kampung kelahiran saya bersama Yasmin. Saya tinggalkan Yusri yang sedang tertidur lelap begitu saja. Setahun..., 2 tahun.., 5 tahun.., 10 tahun.. berlalu sejak kejadian itu. Saya menikah kembali dengan Kamal, seorang bujang. Usia pernikahan kami menginjak tahun kelima. Berkat Kamal, sifat-sifat buruk saya sepertipemarah, egois, dan tinggi hati, berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih sabar dan penyayang. Yasmin sudah berumur 15 tahun dan kami menyekolahkan dia di sekolah jururawat.. Saya tidak lagi ingat berkenaan Yusri dan tiada memori yang mengaitkan saya kepadanya. Hinggalah le satu malam, malam di mana saya bermimpi mengenai seorang anak.Wajahnya segak namun kelihatan pucat sekali. Dia melihat ke arah saya. Sambil tersenyum dia berkata, "Makcik, makcik kenal mama saya? Saya rindu sekali pada mama!" Sesudah berkata demikian ia mulai pergi, namun saya menahannya, "Tunggu..., saya rasa saya kenal kamu. Siapa namamu wahai anak yang manis? "Nama saya Yusri, makcik."Yusri...? Yusri... Ya Tuhan! Benarkah engkau ni Yusri???" Saya terus tersentak dan terbangun. Rasa bersalah, sesal dan pelbagai perasaan aneh yang lain menerpa diri saya pada masa itu juga. Tiba-tiba terlintas kembali kisah yang terjadi dulu seperti sebuah filem yang ditayangkan kembali di kepala saya. Baru sekarang saya menyedari betapa jahatnya perbuatan saya dulu. Rasanya seperti mahu mati saja saat itu. Ya, saya patut mati..., mati..., mati... Ketika tinggal seinci jarak pisau yang ingin saya goreskan ke pergelangan tangan, tiba-tiba bayangan Yusri melintas kembali di fikiran saya. Ya Yusri, mama akan menjemputmu Yusri, tunggu ya sayang!... Petang itu saya membawa dan memarkir kereta Civic biru saya di samping sebuah pondok, dan ia membuatkan Kamal berasa hairan. Beliau menatap wajah saya dan bertanya, "Hasnah, apa yang sebenarnya terjadi? Mengapa kita berada di sini?"Oh, Kamal, kau pasti akan membenciku selepas saya menceritakan hal yang saya lakukan dulu," Aku terus menceritakan segalanya dengan terisak-isak. .. Ternyata Tuhan sungguh baik kepada saya. Ia memberikan suami yang begitu baik dan penuh pengertian. Selepas tangisan saya reda, saya keluar dari kereta dengan diikuti oleh Kamal dari belakang. Mata saya menatap lekat pada gubuk yang terbentang dua meter dari hadapan saya. Saya mula teringat yang saya pernah tinggal dalam pondok itu dan saya tinggalkannya, Yusri.. Yusri... Di manakah engkau? Saya meninggalkan Yusri di sana 10 tahun yang lalu. Dengan perasaan sedih saya berlari menghampiri pondok tersebut dan membuka pintu yang diperbuat daripada buluh itu... Gelap sekali... Tidak terlihat sesuatu apapun di dalamnya! Perlahan-lahan mata saya mulai terbiasa dengan kegelapan dalam ruangan kecil itu. Namun saya tidak menemui sesiapapun di dalamnya. Hanya ada sehelai kain buruk yang berlonggok di lantai tanah. Saya mengambil seraya mengamatinya dengan betul-betul. .. Mata mulai berkaca-kaca, saya mengenalim potongan kain itu . Ini adalah baju buruk yang dulu dipakai oleh Yusri setiap hari...Beberapa saat kemudian, dengan perasaan yang sangat sedih dan bersalah, sayapun keluar dari ruangan itu... Air mata saya mengalir dengan deras. Saat itu saya hanya diam saja. Sesaat kemudian saya dan Kamal mulai menaiki kereta untuk meninggalkan tempat tersebut. Namun, saya melihat seseorang berdiri di belakang kereta kami. Saya terkejut sebab suasana saat itu gelap sekali. Kemudian terlihatlah wajah orang itu yang sangat kotor. Ternyata ia seorang wanita tua. Saya terkejut lagi apabila dengan tiba-tiba dia menegur saya. Suaranya parau. "Heii...! Siapa kamu?! Apa yang kamu mahu?!" Dengan memberanikan diri, saya pun bertanya, "Ibu, apakah ibu kenal dengan seorang anak bernama Yusri yang dulunya tinggal di sini?" Ia menjawab, "Kalau kamu ibunya, kamu adalah perempuan terkutuk!!Tahukah kamu, 10 tahun yang lalu sejak kamu meninggalkannya di sini, Yusri terus menunggu ibunya dan memanggil, 'Mama..., mama!' Kerana tidak tahan melihat keadaannya, kadang-kadang saya memberinya makan dan mengajaknya tinggal bersama saya. Walaupun saya orang miskin dan hanya bekerja sebagai pemungut sampah, namun saya tidak akan meninggalkan anak saya seperti itu! Tiga bulan yang lalu Yusri meninggalkan sehelai kertas ini. Ia belajar menulis setiap hari selama bertahun-tahun hanya untuk menulis ini untukmu..." Saya pun membaca tulisan di kertas itu... "mama, mengapa mama tidak pernah kembali lagi...? mama marah pada Yusri, ya? mama, biarlah Yusri yang pergi saja, tapi mama harus berjanji mama tidak akan marah lagi pada Yusri." Saya menjerit histeria membaca surat itu. "Tolong bagi tahu.. di mana dia sekarang? Saya berjanji akan menyayanginya sekarang! Saya tidak akan meninggalkannya lagi! Tolonglah cakap...!!!" Kamal memeluk tubuh saya yang terketar-ketar dan lemah."Semua sudah terlambat (dengan nada lembut). Sehari sebelum kamu datang, Yusri sudah meninggal dunia. Dia meninggal di belakang pondok ini.tubuhnya sangat kurus, ia sangat lemah. Hanya demi menunggumu ia rela bertahan di belakang pondok ini tanpa berani masuk ke dalamnya. Dia takut apabila mamanya datang, mamanya akan pergi lagi apabila melihatnya ada di dalam sana ... Dia hanya berharap dapat melihat mamanya dari belakang pondok ini... Meskipun hujan deras, dengan keadaannya yang lemah ia terus berkeras menunggu kamu di sana . Dosa kamu tidak akan terampun!" Saya kemudian pengsan dan tidak ingat apa-apa lagi. Semoga menjadi pelajaran bagi kita sebagai orang tua ataupun bagi yang akan berkahwin. Janganlah menyalahkan apa yang sudah diberikan oleh Allah. Tetapi hargailah apa yang diberikan oleh Allah. Dan cuba bersabar.Kerana DIA tidak akan memberikan sesuatu apapun dengan sia-sia.

Moral of the story - sayangi orang di sekitar anda. kita tidak tahu siapa yang benar benar menyayangi kita........ ....




01 April 2010

29 Mac 2010

Siapa yang kaya?

Seorang hartawan membawa anaknya menginap di sebuah rumah milik seorang kenalannya yang miskin. Dia berharap anaknya akan sedar akan kekayaan yang mereka miliki. Setelah tiga hari di rumah si miskin, mereka pun pulang. Dalam perjalanan si ayah bertanya

Ayah: Apa pandangan kamu tentang kembara kita?

Anak : seronok!

Ayah : Sekarang, mesti kamu dapat bandingkan hidup sebagai orang kaya dengan orang miskin, bukan?

anak : ya.

Ayah : Nah sekarang, apa yang kamu belajar daripada semua ini?

Anak : Kita mempunyai seekor kucing peliharaan, tetapi mereka ada banyak kucing yang mereka beri makan. Kita Ada kolam renang, tetapi mereka ada sungai yang jernih dan mengalir airnya untuk mereka mandi. Kita ada lampu import yang mahal harganya, tetapi mereka ada bintang-bintang bergemerlapan di langit yang mereka pandang waktu malam hari....

Si ayah cuba menyampuk, namun si anak meneruskan,

Anak : kita ada jalan yang berturap tetapi mereka ada padang hijau yang saujana mata memandang. Kita seronok menyuruh orang gaji membuat itu dan ini untuk kita, mereka pula ceria ketika berkhidmat dan memberi pertolongan kepada orang lain. Kita ada banyak makanan, tetapi mereka menghasilkan makanan. Kita ada jaga yang menjaga harta kekayaan kita.....tetapi mereka mempunyai ramai sahabat setia yang sentiasa melindungi mereka.

Si ayah tambah terdiam apabila anaknya menambah...

Anak : Terima kasih ayah kerana menyedarkan betapa kayanya mereka dan betapa miskinnya kita.

Pengajaran:

Kekayaan sebenar letaknya di hati yang bersyukur dan redha. Bukan kerana apa yang kita miliki tetapikerana apa yang kita beri. Untuk mencapai kesenangan, kita perlu memiliki. Tetapi untuk mencapai ketenangan kita perlu memberi. Memberi lebih gembira daripada menerima

Antara Tudung dan Tali Leher

"Bertudung busuk dan kotor adalah lebih menyalahi Islam berbanding dengan tidak bertudung!" tegas seorang doktor senior.

Saya masih termenung. Jari berentak perlahan menari-nari di atas meja. Tanda otak sedang ligat berfikir.

"Tapi doktor, kalau busuk dan kotor yang jadi isu, serangan juga patut dibuat kepada tali leher doktor lelaki. Sebagai lelaki, saya sangat tahu bagaimana kaum lelaki melayan tali leher mereka. Tak pernah dibasuh, dicampak merata-rata, lebih berpotensi menjadi punca jangkitan berbanding tudung yang jarang dipakai lebih daripada sehari," saya menyampuk.

Cakap saya memang gurau-gurau. Tapi isinya bukan mainan.

Membunuh sikap double standard yang sering berlaku oleh orang kita sendiri terhadap tuntutan agama kita ke atas kita. Tiga kali "kita".

Apa yang pasti,tudung busuk lagi kotor atau tidak bertudung, dua-dua tidak Islamik. Apa yang Islamik ialah bertudung dan tudungnya bersih tidak berbau.

Ketika negara "kafir" seperti United Kingdom sudah jauh ke depan dalam menghormati agama, membenarkan aurat dipelihara di dalam pasukan beruniform dan perkhidmatan kesihatan, kenapa masyarakat kita masih lebih Barat daripada Barat? Tudung itu budaya atau perintah Alah? Jika ia perintah Allah, di mana Allah dan prioriti kamu?

Solusi #17 m.s 26

24 Januari 2010

Jangan Bakar Buku

"Boleh saya tengok buku itu?" pinta Yusuf. "Silakan". Saya mengajukan naskhah yang ada ditangan.

Yusuf berkerut dahi. Membelek-belek buku tersebut dan menyelak beberapa lembaran yang kelihatannya bersifat selektif,

"Kenapa buku ini?" beliau menyoal.

"Kenapa tidak?" saya agak tidak selesa dengan cara beliau bertanya.

"Imam tidak kenal dengan penulisnya?" soal beliau lagi.

"Oh, itukah isunya. Maksud awak, penterjemahnya atau penulisnya?" saya baru menangkap maksud soalan Yusof.

"Ya, saya maksudkan penterjemahnya. Nuh Ha Mim Keller!" ujar Yusof membetulkan soalan awalnya.

"Saya tidak ada masalah dengan Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Kalau ada satu dua pandangannya berbeza dengan pandangan yang menjadi pegangan saya , itu biasa," saya membuat penjelasan.

"Lihat sahaja bab ini, The Sunni Position On Controversial Topics of Our Time. Pendapat-pendapat itu penuh dengan bidaah dan bertentangan dengan pendirian salafussolleh. Saya amat tidak menyukainya," kata Yusof lagi.

Saya diam seketika daripada bersoal jawab. Mencari hikmah dalam diam untuk mencegah sesal dalam kalam.

Saya tidak salahkan Yusof. Belaiu sebagai seorang saudara baru di negara Barat, memang tegas dalam menentukan pendirian dalam hal-hal seperti ini.

Hitam dan Putih, Tiada Kelabu

Yusof mengalami satu keadaan yang sering saya temui dalam kalangan kelompok mualaf (saudara baru) di negara Eropah. Keluar dari lembah kufur dan jahiliah, bersyahadah dengan pengisytiharan iman dan masuk ke daerah Islam, mereka tidak mudah menyesuaikan diri dengan kepelbagaian pendapat dan aliran yang wujud dalam Islam. Segalanya harus antara yang hak dan batil.

Apabila berdepan dengan wujudnya pendekatan yang berbeza dalam beberapa aspek usuluddin hingga wujudnya aliran salaf dan khalaf, kelompok mualaf di Eropah menjadi sedikit agresif dalam memilih salah satu daripadanya.

Logik Yusof mudah sahaja. Jika selama ini beliau disesatkan dalam agam Kristian oleh perbuatan paderi-paderinya yang manipulatif dan mengangkat diri mengatasi autoriti Bible, Yusof turut fobia dengan 'pendapat-pendapat ulama' yang menenggelamkan persoalan yang lebih penting iaitu apa pendapat Allah dan dan pendapat Rasul?

Kitab 'Umdah al-nasik (Relaince of The Traveller and Tools of The Worshipper) atau lebih dikenali dengan ringkasan tajuknya, Reliance of The Traveller adalah sebuah manual klasik mazhab Syafi'i. Penulis asal kepada bahagian utama buku ini adalah Ahmad Ibn Naqib al-Misri, yang menjadikan legasi Imam al-Nawawi dan Imam Abu Ishaq al-Shirazi sebagai asas buku karangannya.

Kitab ini diterjemahkan oleh seorang ilmuwan dari Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan kemudiannya bermastautin di Jordan iaitu Sheikh Nuh Ha Mim Keller pada tahun 1991. Terjemahan ini menjadi teks berbahasa Eropah pertama yang menerima pengiktirafan oleh Universiti al-Azhar, Mesir.

Sebagai seorang yang bermazhab Syafi'i dan bermanhajkan aliran Asya'irah dalam usuluddin, Sheikh Nuh Ha Mim Keller menyertakan pandangan-pandangan beliau tentang isu-isu yang dianggap kontroversi pada masa kini. Soal bidaah, sufi dan tasawuf, pentafsiran ayat-ayat mutashabihat di dalam al-Quran dan persoalan keraian maulid adalah antara isu yang disentuh oleh Sheikh Nah Ha Mim Keller di dalam seksyen khas yang dimuatkan sama.

Bakar Buku

"Saya faham kerisauan awak, Yusof. Tetapi sebagai seorang penuntut ilmu, kita tidak harus menghukum keseluruhan buku hanya ada sebahagian isinya yang kita tidak persetujui. Jika awak menolak buku Reliance of the Traveller hanya kerana awak tidak bersetuju dengan pandangan Sheikh Nuh Ha Mim Keller tentang sufi dan maulid, awak juga nanti akan menolak Tafsir al-Kasyaf oleh al-Imam al-Zamakhsyari hanya kerana ada sehelai dua kandungan buku itu yang pandangannya cenderung kepada idea Muktazilah," saya cuba melunakkan reaksi keras Yusof.

"Saya bukan ilmuwan seperti Imam. Saya orang biasa, mualaf. Jika ada perkara yang saya rasa boleh mencederakan iman saya, saya tidak akan teragak-agak untuk menolak, malah menghapuskannya," tegas Yusof.

"Menghapuskannya?" terkejut saya dengan kalimah yang diucapkannya.

"Ya, menghapuskannya. Naskhah Reliance of the Traveller yang pernah saya miliki, saya sudah bakar!" Yusof memandang tepat ke muka saya.

"Astaghfirullah. Saya gembira dengan ketegasan awak menjaga iman. Tetapi janganlah sampai membakar buku," saya mengurut dada.

"Saya tidak mahu ada orang lain jadi sesat atau keliru membaca buku milik saya. Justeru membakarnya adalah penyelesaian terbaik," Yusof menegaskan lagi pendapatnya.

Saya kaget.

Yusof tidak berganjak.

"Beware any society that burns books. Ia adalah simptom kepada dictatorship. Lihat sahaja dinasti Qin di China, Nazi di Jerman serta Maximilien Francois Marie Isidore de Robespierre di Perancis. Kita sependapat dalam banyak perkara, tetapi izinkan saya untuk tidak menyetujui sikap awak membakar buku tersebut," saya menyudahkan perbualan.

"Tetapi sekurang-kurangnya saya berpendapat demikian setelah mambaca sendiri dan membuat keputusan. ada orang yang memberikan pendapat yang lebih teruk tentang ulama atau buku tanpa pernah membacanya. Hanya hearsay sahaja!: tambah Yusof.

"Bab itu saya sangat setuju. Jika tadi kita ada khilaf, dalam isu ini saya bersepakat dengan awak," saya mengulas.

Biar pun perbualan kami malam itu berakhir dengan khilaf yang tajam, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ia tidak menjejaskan ukhuwah di antara kami. Yusof terus setia mengunjungi saya serta bertukar-tukar pendapat. Yusof adalah Yusof. Biar pun saya ada bertemu dengan beberapa orang yang memikul sikap yang sama sepertinya, ia berlaku kerana sesuatu. Meletakkan diri di tempat Yusof, saya boleh faham mengapa Yusof begitu keras.

Beliau datang kepada Islam kerana mahu mentaati Allah dan Rasul. Justeru kegemaran segelintir pihak berputar-putar pada kaul ulama apatah lagi sekadar ustaz yang tidak mencapai taraf ilmuwan hingga menenggelamkan apa kata Allah dan Rasul, Yusof ada sikap yang tersendiri terhadap hal ini. Ulama mesti membimbing manusia mencintai Rasul, bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada ulama.

Akhirnya, sikap juga yang menjadi isu.

ditulis oleh Ustaz Hasrizal ABD. Jamil: SOLUSI isu #15 m.s 25 - 26.